Ilmu, Budaya dan Aspirasi: Ulu Paku Jadi Saksi Jalinan Erat JKR Dan UiTM

Posted on 03 May 2025
Source of News: UKAS


SPAOH: Program JKR Sarawak Bersama Mahasiswa UiTM 2025 yang berlangsung di Rumah Panjang Mendit anak Unsu, Penom, Ulu Paku, Spaoh pada Jumaat membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan antara sektor kejuruteraan awam dan dunia akademik.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Amar Douglas menekankan kepentingan mendalami ilmu pengetahuan, khususnya dalam kalangan generasi muda, sambil tidak melupakan nilai budaya yang membentuk identiti masyarakat Sarawak.

Beliau menyifatkan pendedahan kepada warisan budaya seperti yang dimiliki komuniti rumah panjang sebagai satu elemen penting dalam membentuk insan yang holistik dan berdaya tahan.

“Program seperti ini harus diteruskan agar mahasiswa lebih memahami realiti industri kejuruteraan dan mampu bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan sebenar,” katanya dalam ucapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR Sarawak atas kejayaan melaksanakan pelbagai projek infrastruktur yang mematuhi garis masa dan spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya, pencapaian tersebut adalah bukti kecekapan dan komitmen jabatan tersebut dalam memacu pembangunan negeri.

Majlis tersebut turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Prof. Dr. Cassidy Morris.

Kehadiran kedua-dua tokoh penting ini mencerminkan komitmen padu antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam memupuk sinergi ke arah kemajuan negeri.

Program ini bukan sahaja menjadi platform interaksi dua hala antara pelajar dan profesional industri, malah turut memperkasa hubungan komuniti melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berasaskan nilai murni tempatan. - EDISI UKAS