Lebih 1,300 Peserta Sertai Program Bintulu Cops Run Sempena Hari Polis Ke-218

Disiarkan pada 03 May 2025
Sumber Berita: UKAS



BINTULU: Lebih 1,300 peserta telah membanjiri Tapak Farley, Medan Jaya pada Sabtu sempena Program Bintulu Cops Run, sebuah acara larian komuniti anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218.

Simbolik pelepasan larian telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali dan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, SAC Rizal Abdul Rahman Sidek seawal jam 6.00 pagi dan berakhir sekitar jam 8.30 pagi.

Menyahut tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada', program ini berjaya mengumpulkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat melalui dua kategori utama iaitu Larian Terbuka Lelaki dan Wanita sejauh 10 kilometer dan Fun Run sejauh 5 kilometer.

Dalam kategori 10 km lelaki, Harresh Kumar muncul sebagai juara, diikuti Goliath Sili di tempat kedua dan Alif Zaini di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi kategori wanita, Hii Win Nie dinobatkan sebagai juara, manakala Yunizer Suhaili dan Lee Kah Li masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Program Bintulu Cops Run merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IPD Bintulu dengan kerjasama OM Materials Sdn. Bhd. dan Farley Bintulu, yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat, di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga Bintulu.

Agensi-agensi kerajaan yag turut terlibat menjayakan program ini ialah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.-EDISI UKAS