UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan Lokasi Pertama MSN 2025

Disiarkan pada 03 May 2025
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan menjadi lokasi pertama Program Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Sarawak bermula 3 hingga 5 Mei ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) pada Jumaat, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan menjadi lokasi pertama pelancaran MSN 2025 yang turut menandakan permulaan kepada Kembara Sains Borneo (KSB) iaitu satu siri penjelajahan pendidikan Sains yang menyasarkan sekolah-sekolah di seluruh Sarawak dan Sabah.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama MEITD akan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.

Pelbagai aktiviti dan program telah dirancang di sepanjang Program MSN Zon Sarawak antaranya Pameran Pendidikan STEM dan Industri, aktiviti pentas, Bengkel Pendidik dan STEM, Pertandingan STEM, Trivia Sains dan Kendera Saji.

Sehubungan itu, orang ramai di sekitar Kota Samarahan, Kuching dan Serian dipelawa untuk sama-sama memeriahkan MSN 2025 Zon Sarawak bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang sepanjang tiga hari itu.

Selepas ini, MSN 2025 akan bergerak ke Sabah pada Julai 2025, Terengganu pada Ogos 2025, Johor pada September 2025, Kedah pada Oktober dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada November 2025. -Edisi UKAS