Sarawak Tawar Peluang Pelaburan Mampan

Disiarkan pada 02 May 2025
Sumber Berita: UKAS


LONDON: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan utama di Asia Tenggara dengan menawarkan peluang ekonomi yang luas, berasaskan kemampanan dan inovasi teknologi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, negeri itu menyasarkan untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2030 menerusi pelbagai inisiatif strategik.

Menurutnya, Sarawak yang terletak secara strategik di Pulau Borneo, berada dalam kedudukan ideal untuk mengakses pasaran Asia yang mempunyai lebih 4.5 bilion penduduk, atau 60 peratus daripada populasi dunia.

"Dengan keluasan mencecah 12.4 juta hektar, Sarawak memiliki pelbagai sumber semula jadi seperti tanah pertanian subur, hutan belum diteroka, mineral, petroleum dan gas asli.

"Enam sektor utama dikenal pasti dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, iaitu pembuatan, pertanian, perhutanan, pelancongan, perlombongan dan perkhidmatan.

“Setiap sektor ini menawarkan potensi pelaburan yang besar, dengan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar menjadi tunjang pembangunan,” katanya dalam ucapan aluan pada Sarawak Connects 2025 di London, United Kingdom pada Jumaat waktu tempatan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dalam pada itu, beliau menambah, Sarawak turut memposisikan diri sebagai peneraju tenaga hijau rantau ini dengan potensi 20,000 megawatt (MW) tenaga hidro.

Jelasnya, projek utama seperti empangan Batang Ai, Bakun dan Murum kini membekalkan lebih 60 peratus daripada campuran tenaga negeri.

"Konsep empangan melata atau 'cascading dam' dan inisiatif ekonomi hidrogen menjadikan Sarawak antara peneraju global dalam pengeluaran dan pengedaran hidrogen mampan.

"Tawaran pelaburan Sarawak juga sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya. -EDISI UKAS