LONDON: Kerajaan Sarawak sedang meneliti model hubungan antara Scotland dan United Kingdom (UK) sebagai rujukan dalam merangka mekanisme pengagihan hasil levi karbon serta kuasa pengawalseliaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara itu penting dalam memastikan Sarawak memperoleh pulangan yang adil daripada sumber asli negeri, termasuk dalam sektor baharu seperti sistem penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS).
"Persoalan utama ialah bagaimana levi karbon diagih antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
"Justeru, kami (Kerajaan Sarawak) meneliti model yang diguna pakai oleh Scotland dan UK dalam menentukan perkongsian kuasa serta hasil secara adil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Fireside Chat Session: Sarawak's Global Vision: Sustainability, Innovation & Strategic Partnerhips dalam Sarawak Connects 2025 di sini pada Jumaat waktu tempatan.
Moderator bagi sesi tersebut ialah Lord Jonathan Marland.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam membangunkan industri karbon mampan menerusi pelaksanaan undang-undang pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Mengulas tentang pengurusan sumber asli strategik seperti thorium dan logam nadir bumi lain, beliau menegaskan Sarawak tidak mahu hanya menjadi pengeksport bahan mentah, sebaliknya mahu mewujudkan rantaian nilai lengkap dari peringkat huluan hingga hiliran.
"Untuk mencapai matlamat ini, kita menjalinkan kerjasama dengan agensi antarabangsa dan pelabur yang memiliki kepakaran serta teknologi. Jika terdapat keserasian, maka kita boleh bergerak bersama.
"Setakat ini, Sarawak telah menerima pelaburan signifikan dari Korea Selatan, Jepun dan China, dan kini sedang meninjau potensi kerjasama dengan negara-negara Eropah bagi meluaskan rangkaian pelaburan yang seimbang di peringkat global.
"Kita ingin mengaktifkan dasar dan aktiviti ekonomi berasaskan kekuatan kita sendiri, dan saya yakin pendekatan ini sedang membuahkan hasil,” tambah beliau.
Turut hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS