LONDON: Sarawak Sustainability Blueprint 2030 atau Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 akan dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada penghujung Mei ini.
Ia merupakan pelan strategik bagi peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan merangkumi 10 teras strategik, 48 strategi dan 111 pelan tindakan dengan sasaran untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10 gigawatt (GW) dan 70 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2030.
Untuk rekod, pelan induk tersebut baru sahaja dimuktamadkan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak.
Sebelum itu Premier Sarawak bersama delegasi Kerajaan Sarawak telah mengadakan sesi meja bulat berprofil tinggi bersama para sarjana dan pakar di London School of Economics and Political Science (LSE) dengan fokus utama terhadap strategi pembangunan lestari dan pertumbuhan hijau pada Khamis waktu tempatan.
Sesi ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara akademia dan penggubal dasar dalam memacu pertumbuhan mampan dan ketahanan iklim.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut berkongsi mengenai dasar hijau baharu Sarawak yang bakal diperkenalkan, termasuk Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai peneraju serantau dalam pembangunan mampan dan tenaga bersih.
Dialog di LSE turut menekankan pentingnya perkongsian strategik dan pertukaran ilmu pengetahuan dalam merealisasikan aspirasi kelestarian Sarawak dengan komitmen bersama untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
Sementara itu, pihak LSE turut menyatakan minat mereka untuk menjalin kerjasama dengan Sarawak dalam pelbagai sektor, termasuk pemuliharaan hutan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan perubahan iklim.
Turut hadir dalam sesi meja bulat tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Dasar dan Komunikasi, Institut Penyelidikan Grantham mengenai Perubahan Iklim dan Alam Sekitar LSE, Bob Ward, Pengarah Eksekutif Pembangunan, Filantropi dan Penglibatan Global LSE, Helen Jones, Pemangku Pengarah Institut Penyelidikan Grantham mengenai Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Giles Atkinson serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS