MARUDI: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Marudi yang berlangsung di Dewan Suarah Marudi pada Rabu mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Lebih 400 orang hadir dalam majlis anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Marudi dan Lembaga Kebajikan Amanah Melayu Baram.
Acara ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan termasuk Pemangku Pegawai Daerah Marudi, Vanessa Joseph yang mewakili Residen Bahagian Miri; Pegawai Tadbir Sarawak, Fazzwan Yunus; Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohamad Jamil; serta Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Amanah Melayu Baram, Pemanca Jamel Sabel.
Dalam ucapan alu-aluannya, Fazzwan menekankan bahawa majlis ini bukan sekadar sambutan Hari Raya, sebaliknya merupakan platform untuk memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat pelbagai kampung di Marudi.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kampung-kampung yang terlibat seperti Kampung Pemindahan, Kampung Dagang, Kampung Baru, Kampung Benawa, Kampung Padang Kerbau, Kampung Lubok Nibong dan Kampung Hizrah.
“Menariknya, kebanyakan kampung menyediakan sendiri juadah untuk dikongsi bersama para hadirin, memperlihatkan semangat gotong-royong yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” tambah beliau.
Pemanca Jamel pula menyeru agar sambutan ini dijadikan peluang untuk saling bermaafan serta menegaskan kepentingan nilai amanah dan integriti dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau turut menyatakan rasa syukur atas pelbagai pembangunan yang dibawa ke Marudi, termasuk penambahbaikan Masjid As-Salam hasil sokongan Kerajaan Sarawak.
Manakala, wakil Residen Bahagian Miri dalam ucapannya memuji penganjuran majlis yang disifatkan berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut memuji komitmen tinggi masyarakat kampung dalam pertandingan reruai tercantik yang dianggap sebagai contoh teladan baik kepada generasi muda.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh pelbagai etnik termasuk Melayu, Iban, Cina dan Orang Ulu, mencerminkan kepelbagaian budaya yang wujud di Marudi.
Dalam pertandingan reruai tercantik, Majlis Daerah Marudi dinobatkan sebagai juara, diikuti Kampung Pemindahan di tempat kedua dan Kampung Narum di tempat ketiga.
Anugerah “Baju Terpaling Raya” pula dimenangi oleh Ustaz Fahmi (kategori lelaki) dan Puan Aziana (kategori wanita).
Majlis yang disambut dalam suasana meriah dan penuh makna itu, menggambarkan keharmonian serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Daerah Marudi.-EDISI UKAS