5 Projek RTP Siap Dibina, Bukti Komitmen Kerajaan Perkasa Kemudahan Luar Bandar di Sarikei

Posted on 01 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Lima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2024 yang siap sepenuhnya di Sarikei diserahkan secara rasmi pada Rabu, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar.

Majlis penyerahan tapak projek yang berlangsung pagi tadi disaksikan oleh Kapitan Ling Dien Yong selaku wakil kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Dalam ucapan yang disampaikan melalui wakilnya, Dato’ Sri Huang menzahirkan penghargaan kepada Majlis Daerah Sarikei (MDS) selaku agensi pelaksana serta semua pihak yang telah memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek tersebut.

“Setiap projek RTP yang dilaksanakan adalah berdasarkan maklum balas dan keperluan sebenar rakyat. Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk keselesaan harian, tetapi juga dalam memperkasa aktiviti sosial, pendidikan dan keagamaan masyarakat setempat,” jelasnya.

Antara projek yang telah siap di bawah projek RTP Tahun 2024 di Sarikei termasuklah pembinaan tembok tanah bagi kawasan letak sampah serta penyediaan kemudahan lompat jauh dan lontar peluru di SJK(C) Su Tak.

Di Rumah Yip Mee Fong, kerja-kerja pembinaan kulvert dan lantai simen telah dilaksanakan bagi melancarkan aliran air dan meningkatkan kemudahan asas.

Sementara itu, di Rumah Antam dan Rumah Rahmat Ikhsan, projek melibatkan penyimenan lantai demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

Di Tokong Di Mu pula, pembinaan pagar baharu telah disiapkan sebagai langkah penambahbaikan keselamatan kawasan rumah ibadat tersebut.

Penyerahan rasmi tapak projek dilakukan oleh wakil MDS kepada pihak penerima daripada sekolah, rumah panjang dan tokong berkenaan.

Dato’ Sri Huang turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan pembangunan seimbang dan inklusif, khususnya di kawasan luar bandar, agar tiada komuniti yang ketinggalan dalam arus kemajuan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Jurutera MDS, Joviana Joklin dan Kr Anthony Suding.-EDISI UKAS