SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digesa memainkan peranan lebih proaktif dan berwibawa sebagai ejen transformasi sosial, dalam mendepani cabaran pembangunan serta menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, berkata KMKK perlu menggalas tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar pemimpin kampung atau rumah panjang, memandangkan landskap sosial, kemajuan teknologi dan tuntutan pembangunan yang semakin mencabar.
“KMKK perlu bertindak pantas, berfikiran jauh ke hadapan serta menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan keadilan.
“Mereka adalah jambatan penting antara rakyat dan kerajaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Program Pemantapan Perkhidmatan dan Peranan KMKK Daerah Selangau 2025 di Hotel Kingwood di sini pada Rabu.
Program anjuran Pejabat Daerah Selangau itu menghimpunkan seramai 230 peserta dari pelbagai komuniti di daerah tersebut, bertujuan memperkukuh kefahaman peranan KMKK dalam sistem tadbir urus setempat serta memperkasakan kepimpinan akar umbi.
Edwin turut menggesa agar KMKK membantu kerajaan menyampaikan maklumat serta dasar pembangunan kepada komuniti secara berkesan, di samping memperkukuh tadbir urus yang telus dan adil.
“Kemajuan Selangau, termasuk dari aspek infrastruktur, pendidikan, pekerjaan dan kesejahteraan sosial hanya boleh dicapai menerusi kerjasama erat semua pihak, khususnya para pemimpin masyarakat,” katanya sambil menyeru KMKK agar memanfaatkan program tersebut sebagai ruang berdiskusi dan menyumbang idea demi kebaikan bersama.
Sementara itu, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman menekankan bahawa KMKK merupakan tulang belakang kepada pentadbiran akar umbi dan berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
“Dalam konteks strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), peranan KMKK semakin kritikal. Mereka harus bersedia mengadaptasi perubahan, memperkasakan kemahiran dan menguasai pengetahuan dasar kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyeru KMKK agar sentiasa memperbaharui iltizam untuk berkhidmat dengan dedikasi dan ikhlas berlandaskan prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Sibu, Wee Teck Min dan wakil Pegawai Daerah Selangau, Chua Siong Wei.-EDISI UKAS