NREB Sarawak Perkenal Garis Panduan Baharu Juruaudit Luar Bertauliah, Perkukuh Pelaporan Emisi Karbon

Posted on 30 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak memperkenalkan Guidelines for the Qualifications and Registration of Accredited External Auditors Rules 2025 menerusi Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh.

Menurut kenyataan NREB pada Rabu, garis panduan itu yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025 adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 yang telah dikuatkuasakan sejak 1 Mac 2024.

Ordinan ini mewajibkan entiti perniagaan dalam sektor ekonomi terjadual untuk mengemukakan laporan tahunan pelepasan karbon yang perlu disahkan oleh Juruaudit Luar Bertauliah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6(3).

Antara perkara utama yang digariskan dalam peraturan baharu ini termasuklah kriteria kelayakan untuk pendaftaran juruaudit luar, kelulusan akademik yang diperlukan, prosedur pendaftaran dan pembaharuan, serta tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh juruaudit dalam memastikan integriti proses pelaporan karbon.

Sesi itu turut menampilkan demonstrasi sistem digital prototaip Greenhouse Gas Management System (GHG-MS) oleh SAINS, yang bertujuan memudahkan proses pendaftaran dan pembaharuan juruaudit serta syarikat.

Kontroller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam menyampaikan ucapan aluan, diikuti oleh kehadiran CEO SAINS, Busiai Seman; wakil dari Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) serta 15 wakil dari sektor tenaga, minyak dan gas dan firma audit.

Menurut NREB, sesi ini penting bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan industri, agar garis panduan yang dirangka lebih praktikal dan berkesan, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak untuk terus menerajui usaha kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS