BINTANGOR: Semangat sambutan Gawai semakin dirasai di kawasan Meradong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing meneruskan Lawatan Pra Gawai Hari Ke-9 ke rumah panjang sekitar Skim B, pada Selasa.
Lawatan ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Meradong sebagai usaha berterusan mendekati rakyat menjelang sambutan Gawai Dayak.
Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Ding menegaskan komitmen beliau untuk terus turun padang setiap tahun ke rumah panjang tanpa mengira saiz atau lokasi sebagai satu pendekatan menyeluruh mendengar sendiri keluhan dan keperluan rakyat.
“Inilah peluang terbaik untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang dihadapi oleh penduduk, selain mengeratkan hubungan di antara wakil rakyat dan komuniti,” ujar beliau.
Lawatan turut dimanfaatkan sebagai platform menyampaikan maklumat tentang pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Antaranya seperti Kenyalang Gold Card (KGC), Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) serta Endowment Fund Sarawak (EFS).
Dalam aspek pendidikan, Kerajaan Sarawak katanya juga telah memperkenalkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) di institusi milik negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.
Datuk Ding turut menyeru agar setiap permohonan projek atau bantuan dibincangkan secara menyeluruh bersama penduduk sebelum disalurkan melalui Tuai Rumah kepada Pusat Khidmat DUN Meradong bagi tindakan lanjut.
“Sokongan padu kepada kerajaan negeri amat penting agar pembangunan dapat diteruskan dan hasilnya dirasai secara inklusif oleh semua kaum dan agama,” tegas beliau lagi.-EDISI UKAS