SRI AMAN: Komitmen memperkukuh budaya integriti dan menolak amalan rasuah terus diperteguh menerusi penganjuran Hari Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Bahagian Sri Aman 2025 yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman pada Rabu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif memperkasa nilai amanah dan ketelusan dalam kalangan penjawat awam.
Program yang bermula seawal 8.30 pagi itu menghimpunkan ratusan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan di Bahagian Sri Aman, sekali gus mencerminkan semangat kolektif dalam memerangi budaya rasuah bermula dari akar umbi.
Antara pengisian utama program termasuk ceramah bertajuk “Integriti Tumbuk Rusuk: Kesan dan Akibat” oleh penceramah jemputan, Mohd. Firdaus Ramlan yang menekankan bagaimana kompromi terhadap integriti mampu menggugat sistem pentadbiran dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
Penganjuran acara ini bukan sahaja sebagai simbolik komitmen menolak rasuah, malah turut memperkukuh nilai-nilai moral dalam setiap tindakan dan keputusan penjawat awam.-EDISI UKAS