TEBEDU: Sebanyak RM677,699 telah disalurkan kepada pelbagai persatuan, kelab, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan institusi pendidikan di kawasan Serian pada Majlis Penyampaian Cek Projek Khas (MRP) Fasa 1/2025 yang berlangsung di Leort Cottage, Kampung Pichin, di sini pada Rabu.
Peruntukan berkenaan melibatkan 52 penerima yang merangkumi dua kategori utama iaitu 25 penerima daripada kalangan JKKK, kelab dan persatuan dengan jumlah keseluruhan RM377,699 serta 26 sekolah yang menerima sumbangan khas berjumlah RM300,000.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata dana yang diagihkan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk menyokong pembangunan komuniti akar umbi dan pendidikan di kawasan luar bandar.
“Saya berharap agar peruntukan ini dimanfaatkan sepenuhnya melalui program, aktiviti kemasyarakatan atau gotong-royong yang memberi impak positif kepada penduduk.
“Rekod penggunaan dana juga perlu disimpan dengan teliti untuk tujuan semakan atau audit,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa mana-mana pertubuhan yang masih belum menerima peruntukan tahun ini diminta bersabar kerana agihan dibuat secara berperingkat mengikut keperluan.-EDISI UKAS