Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II Rancak Dalam Pembinaan

Posted on 30 Apr 2025
Source of News: UKAS


SERIAN: Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II yang bernilai RM260 juta kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan memberikan manfaat kepada lebih 1,800 rumah di 76 kampung yang masih belum menikmati bekalan air terawat di Bahagian Serian.

Dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, projek berimpak tinggi ini sedang dalam fasa pembinaan sejak dimulakan pada Oktober 2024 dan dijangka siap pada April 2027.

Ia dilaksanakan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi menegaskan bahawa usaha ini merupakan sebahagian daripada Pelan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang bertujuan memperluas liputan dan menyelesaikan isu bekalan air secara menyeluruh dan mampan di luar bandar.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Selabi di lokasi utama yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut pada Rabu.

Turut hadir semasa lawatan ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Sarawak), Datuk Martin Ben; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada; ADUN Bukit Semuja, John Ilus dan Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap.

Projek Fasa II ini merangkumi dua kontrak utama iaitu fasa 1 dan fasa 2 yang masing-masing mencatat kemajuan fizikal sebanyak 19 peratus dan 7.37 peratus setakat ini.

Fasa 1 melibatkan pemasangan paip MSCL bersaiz 900 mm dan 800 mm dari Loji Rawatan Air Selabi ke simpang Jalan Melikin sepanjang 33 kilometer, paip HDPE sepanjang 65 kilometer, pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 3 juta liter serta penyambungan komunikasi paip ke 26 kampung.

Fasa 2 pula melibatkan pemasangan paip MSCL dari simpang Jalan Melikin ke simpang Jalan Samalatong sepanjang 30 kilometer, paip HDPE sepanjang 55 kilometer, pembinaan tangki takungan air berkapasiti 1.8 juta liter, Stesen Pam Penggalak dan penyambungan paip ke 50 kampung.

Setakat ini, 16.5 kilometer paip MSCL dan 9.5 kilometer paip HDPE telah dipasang bagi fasa 1, manakala fasa 2 mencatatkan pemasangan 1.97 kilometer paip MSCL dan 5.64 kilometer paip HDPE. - EDISI UKAS