Nicholas Kudi Umum Peruntukan RM35,000 untuk Rumah Panjang, Biro Wanita Di Baleh

Posted on 30 Apr 2025
Source of News: UKAS


BALEH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM35,000 untuk kawasan Rumah Panjang di sekitar Sungai Kain, Baleh, Kapit.

Sebanyak RM20,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Garie Timbang, Nanga Sempang, Sungai Kain bagi tujuan pembangunan dan keperluan penduduk rumah panjang tersebut.

Selain itu, sebanyak lima buah rumah panjang di kawasan tersebut turut menerima peruntukan sebanyak RM3,000 setiap satu bagi menyokong aktiviti dan inisiatif Biro Wanita masing-masing iaitu Rumah James, Nanga Sepetai; Rumah Bajai, Nanga Kain; Rumah Cherry Mudan; Nanga Senyar, Rumah Jampang, Nanga Anchau dan Rumah Ensong, Batu Babi.

Menurut Nicholas Kudi, sumbangan ini bertujuan memperkasakan peranan Biro Wanita dalam komuniti rumah panjang serta memastikan pembangunan seimbang dan menyeluruh di kawasan pedalaman.