Komitmen Wakil Rakyat Kabong Perkasa Infrastruktur Pendidikan Luar Bandar

Posted on 30 Apr 2025
Source of News: UKAS


KABONG: Usaha memperkasa kemudahan pendidikan luar bandar diteruskan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Eman Nyabor menerima peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 bagi projek menaik taraf dewan sekolah tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, projek penaiktarafan itu merangkumi peningkatan sistem pendawaian elektrik kepada tiga fasa, pemasangan kipas dan penyaman udara baharu, demi memastikan warga sekolah menikmati suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Usaha menaik taraf kemudahan dan sekolah-sekolah di kawasan DUN Kabong akan terus diberikan keutamaan.

“Ini penting agar pelajar dan warga pendidik dapat menikmati suasana yang selesa dan sempurna,” katanya dalam teks ucapan sempena majlis Ramah Tamah ‘Raya Lain Macam’ di Dewan SK To’ Eman Nyabor yang dirasmikan oleh Penghulu Kampung Sessang, Kamaluddin Rambli pada Selasa bagi mewakili beliau.

Dato Chee turut menegaskan bahawa beliau akan terus menyokong apa jua program yang membawa manfaat kepada pembangunan pendidikan di kawasan Kabong, di samping berkolaborasi dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok untuk menambah baik infrastruktur sekolah di kawasan itu.

Dalam majlis sama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK To’ Eman Nyabor turut menerima sumbangan khas RM7,000, sebagai dorongan memperkukuh aktiviti dan program pendidikan sekolah.

Turut hadir, Penolong Pegawai Sektor Pembangunan Murid PPD Saratok, Zulkarnain Ahmad; Guru Besar SK To’ Eman Nyabor, Kiplie Ali; Pegawai Perhubungan Sekolah, Sarjan Pegawati Saidah Reduan; Ketua Kampung Nyabor Baru, Bakihan Nani; dan Ketua Kampung Nyabor Tradisi/Lama, Abang Ahmad Abang Ali.-EDISI UKAS