Ombudsman Sarawak Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan Pentadbiran Bahagian Mukah

Disiarkan pada 30 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Peranan Ombudsman Sarawak dalam mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam terus diperkasa melalui sesi perjumpaan Ketua Ombudsman Sarawak bersama barisan pengurusan tertinggi Pejabat Residen Bahagian Mukah yang berlangsung hari ini di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah).

Sesi tersebut diketuai oleh Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff bersama Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh dengan penglibatan pegawai daerah dari Mukah, Dalat, Matu, Daro, Tanjung Manis serta Pegawai Tadbir dari Pejabat Daerah Kecil Oya dan Igan, selain pegawai kanan pentadbiran bahagian serta Pengurusan Ombudsman Sarawak.

Pertemuan ini bertujuan memperjelas peranan dan fungsi Ombudsman Sarawak, khususnya dalam konteks pelaksanaan Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 yang menekankan aspek ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Menurut Dato Sri Abdul Ghafur, sesi seperti ini penting dalam merapatkan hubungan strategik antara jabatan pusat dan pentadbiran di peringkat wilayah bagi memastikan aduan dan isu perkhidmatan awam dapat ditangani dengan lebih efektif dan berkesan.

Dalam pada itu, Datu Kueh Lei Poh turut berkongsi hala tuju pembangunan strategik Bahagian Mukah yang meliputi aspek pembangunan fizikal, sosioekonomi dan transformasi pentadbiran, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri ke arah tadbir urus berimpak tinggi.

Sesi perbincangan ini dijangka membuka ruang kerjasama lebih erat antara Pejabat Ombudsman Sarawak dan pentadbiran tempatan, selaras dengan matlamat mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, telus dan berpaksikan rakyat.-EDISI UKAS