KETEQ AI, Perintis Inovasi Kuasa Pintar Sarawak Di Pentas Dunia

Disiarkan pada 29 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


CARDIFF: Kerajaan Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang teknologi global apabila memperkenalkan KETEQ AI iaitu peranti penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya di dunia hasil usaha dan kepakaran anak negeri itu sepenuhnya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan itu merupakan antara pencapaian utama di bawah inisiatif Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 and Beyond, yang menyasarkan Sarawak sebagai hab teknologi tinggi di rantau ini.

“Pembangunan Edge AI Power Converter ini lebih daripada sekadar hasil dasar, ia satu pencetus perubahan besar bagi Sarawak. Inovasi ini membawa lonjakan transformasi dalam landskap teknologi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan ke fasiliti CSA Catapult di Cardiff, Wales, pada Selasa waktu tempatan.

Hadir sama dalam majlis bersejarah itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Sarawak yang juga Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif CSA Catapult, Raj Gawera dan Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Mohd Shariman Jamil.

KETEQ AI direka dengan keupayaan untuk mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam masa kurang 0.1 milisaat, sekali gus menjadikannya antara sistem paling responsif dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa.

Premier Sarawak menambah, teknologi itu menandakan satu lonjakan besar ke hadapan dan memperlihatkan kesungguhan Sarawak dalam membina keupayaan teknologi strategik sendiri.

Jelas beliau, projek pembangunan KETEQ AI bermula pada 23 April 2024 selepas termeterainya Memorandum Persefahaman antara syarikat SMD Semiconductor dan CSA Catapult di Parlimen United Kingdom.

“Kerjasama ini memberi ruang kepada Sarawak untuk membina ekosistem inovasi lebih mapan yang menyokong pertumbuhan sektor teknologi tempatan.

“Inovasi ini bukan sahaja menjanjikan kecekapan tenaga yang tinggi, malah direka agar dapat beroperasi secara berskala dengan keupayaan tindak balas masa nyata,” katanya lagi.

KETEQ AI mempunyai potensi aplikasi yang luas termasuk dalam grid pintar, sistem kenderaan elektrik, teknologi autonomi, Internet Pelbagai Perkara (IoT) industri, sistem ramalan penyelenggaraan serta mekanisme kawalan kritikal.

Sementara itu, Shariman Jamil turut melakukan demonstrasi langsung prototaip teknologi tersebut, memperlihatkan kemampuannya mengendalikan pelbagai senario operasi kompleks.

Dengan slogan Innovation in just a Snap, KETEQ AI menjadi bukti kemampuan anak Sarawak dalam mencipta teknologi bertaraf dunia, sekali gus mengangkat nama negeri ini ke persada global dalam bidang AI dan sistem tenaga pintar.

Dalam pada itu, pengenalan KETEQ AI ini diyakini memacu ekonomi digital Sarawak dengan memperkukuh pemindahan teknologi, bakat reka bentuk cip dan jaringan pasaran.

Selepas pelancaran di Cardiff, KETEQ AI diteruskan ke pentas pameran dan pemasaran, antaranya Microelectronics UK 2025 yang membuka laluan kerjasama industri dan pelabur. 

Pada masa sama, pemerolehan hak IP antarabangsa untuk KETEQ AI dilaporkan disasar selesai penghujung tahun ini sekali gus memperkasa aset harta intelek Sarawak. 

Melihat perkembangan ini, KETEQ AI sebagai penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan pertama seumpamanya di dunia akan memacu ekonomi digital berasaskan teknologi tinggi di Sarawak.

Inovasi ini bukan sahaja menonjolkan keupayaan Sarawak dalam bidang semikonduktor dan elektronik kuasa, malah turut menempatkan Sarawak sebagai peneraju teknologi baharu dalam ekonomi digital.

Sementara itu, KETEQ AI juga menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi dengan membuka laluan kepada penciptaan ribuan pekerjaan baharu dalam sektor teknologi digital.

Menarik perhatian, bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan reka bentuk cip melibatkan jurutera elektronik, pakar AI, pengaturcara sistem tertanam serta jurutera ujian.

Pengeluaran dan pemasangan: membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan semikonduktor, pemasangan papan litar bercetak (PCB), ujian dan pematuhan piawaian antarabangsa.

Tuntasnya, kejayaan pelancaran KETEQ AI meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan asing dalam bidang teknologi.

Kerjasama strategik dengan CSA Catapult UK dan penyertaan dalam pameran antarabangsa seperti Microelectronics UK 2025 juga memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam peta inovasi global dan ekonomi digital.

Ini sekali gus menjadikan Sarawak sebagai hab teknologi hijau dan digital seiring aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan KETEQ AI melengkapkan usaha Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi melalui ekonomi digital iaitu penerapan AI dalam sektor tenaga, pembuatan dan logistik mempercepatkan transformasi digital negeri.-EDISI UKAS