Pejabat Residen Bintulu Terajui Usaha Memperkasa Budaya Keselamatan Industri

Posted on 30 Apr 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Usaha mempertingkatkan budaya keselamatan di tempat kerja dalam sektor industri Bintulu kini digerakkan secara lebih menyeluruh menerusi penganjuran sulung Bintulu Industrial Safety Engagement Programme (BISEP), anjuran Pejabat Residen Bintulu dengan kerjasama Sarawak Petchem Sdn. Bhd.

Program yang berlangsung di ibu pejabat Sarawak Petchem itu menghimpunkan lebih 50 wakil daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta yang beroperasi di kawasan perindustrian Samalaju dan Kidurong dengan matlamat membentuk strategi kolaboratif memperteguh amalan keselamatan, sekuriti dan kelestarian alam sekitar di tempat kerja.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey dalam ucapan perasmiannya menekankan keperluan satu pelan induk atau strategi menyeluruh hasil kolaborasi pelbagai pihak bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan peranan masing-masing dalam menangani insiden di tempat kerja.

“Pejabat Residen memandang serius aspek keselamatan industri dan telah bermesyuarat dengan jabatan kerajaan serta syarikat swasta di Samalaju dan Kidurong bagi merangka program ini secara komprehensif.

“Ia bukan hanya libat urus, tetapi juga ke arah membina kerangka bersama bagi membudayakan keselamatan sebagai satu keutamaan bersama,” katanya.

Beliau turut menyarankan penganjuran seminar berkala yang meliputi pelbagai aspek lain seperti sekuriti dan pemeliharaan alam sekitar, serta menggalakkan pertukaran idea dan amalan terbaik antara agensi dan sektor swasta.

Sepanjang sesi separuh hari itu, tiga pembentangan utama dikongsikan, dengan fokus kepada peningkatan kesedaran keselamatan, pengurusan risiko secara proaktif, serta pendekatan kolaboratif antara semua pemegang taruh.

Sarawak Petchem pula menyuarakan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif berimpak tinggi dalam mempertingkatkan operasi yang selamat dan mampan, serta memperluas hubungan strategik dengan agensi penguatkuasa dan rakan industri lain.

Program BISEP ini dilihat sebagai permulaan kepada rangka kerja keselamatan industri yang lebih tersusun, seiring dengan pertumbuhan pesat sektor industri di Bintulu, dan menjadi platform penting membina sinergi demi kesejahteraan tenaga kerja dan pembangunan mampan wilayah ini.-EDISI UKAS