KUCHING: Projek sambung tara bekalan elektrik ke Sabah dijangka beroperasi pada suku keempat 2024.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi bagaimanapun memberitahu, bahawa projek itu bergantung kepada siapnya penyambungan talian penghantaran dari Miri ke Daerah Lawas di bawah projek 'Northern Grid Extension'.
“Projek 'Northern Grid Extension' sepatutnya siap pada Mei tahun ini tetapi tergendala disebabkan oleh masalah izin lalu (wayleave) di Long Latei, Long Meraan, Long Seridan, Long Kawa, dan Long Selulong.
"Sambungan talian penghantaran ke grid Sarawak melalui projek 'Northern Grid Extension' dari Miri ke Daerah Lawas hanya akan dapat disiapkan pada penghujung tahun ini sekiranya masalah izin lalu dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Julaihi menambah, projek sambung tara itu akan menghubungkan stesen pencawang Lawas yang baharu di Sarawak ke stesen pencawang Mengalong di Sabah melalui talian penghantaran 275 kV sepanjang 34 kilometer.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung masih di peringkat kajian awalan oleh Sarawak Energy dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).-EDISI UKAS