TANJUNG MANIS: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dengan kerjasama Worldview Climate Solutions Sdn Bhd (WCS) telah menganjurkan Program Dialog Projek Karbon Biru bersama komuniti pada 28 April 2025 di Kampung Paloh dan 29 April 2025 di Kampung Serdeng.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, program ini merupakan inisiatif penting dalam usaha memperkenalkan serta menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam program pemulihan dan pemeliharaan ekosistem bakau di kawasan projek seluas 10,300 hektar, yang merupakan sebahagian daripada komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi hijau.
Penolong Pengurus Besar Pengurusan Sumber Lestari PUSAKA, Hamzah Morshidi, bersama wakil-wakil agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Tanjung Manis, Jabatan Tanah dan Survei Mukah, Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC), serta wakil pemaju projek iaitu Worldview Climate Solutions Sdn Bhd (WCS), turut hadir pada program tersebut.
Dialog tersebut dihadiri oleh pemimpin komuniti tempatan termasuk Penghulu Kampung Paloh, Jaafar Sedik, Ketua Kaum Kampung Paloh dan Kampung Kedang, Tuai Rumah Berangan dan Kedang, Ketua Kaum Keprawi Bakar dari Kampung Sedo, Ketua Kaum Ben Kuleng dan Tuai Rumah Isa dari Telok Gelam.
Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai PUSAKA, Nizam Abdullah bersama wakil WCS, Briggette Phillip dan Pegawai SFC, Winnie Akin.
Dalam sesi tersebut, mereka menerangkan secara terperinci mengenai Program Projek Karbon Biru yang dirancang, iaitu usaha bersepadu untuk pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan hutan bakau serta tanah lembap sebagai strategi menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya tahan komuniti pesisir di Sarawak.
Sesi dialog itu menekankan kepentingan karbon biru, termasuk peranannya dalam menyerap karbon dioksida, memelihara biodiversiti, melindungi kawasan pantai daripada hakisan, dan memperbaiki kualiti ekosistem setempat.
Penerangan juga diberikan mengenai faedah yang boleh diperoleh komuniti seperti peluang pekerjaan baru, pembangunan eko-pelancongan, program pembangunan kapasiti, dan peningkatan infrastruktur di kawasan projek.
Komuniti setempa juga diberi ruang untuk mengemukakan soalan serta memberi maklum balas membina demi memperbaiki pelaksanaan projek ini.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan bahawa penglibatan dan kerjasama komuniti setempat adalah tunjang utama kejayaan projek ini.
Sementara itu, Pengurus Projek, Endela Tipot berharap agar komuniti dapat memberi sokongan berterusan kepada PUSAKA dalam menjayakan program ini serta mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh komuniti setempat.
Pada pengakhiran program, PUSAKA, WCS dan agensi kerajaan yang terlibat merakamkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya komuniti sekitar Paloh dan Serdeng, yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan Projek Karbon Biru ini.
Dengan sokongan berterusan daripada semua lapisan masyarakat, projek ini diharapkan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada generasi kini dan akan datang, serta memastikan kelestarian sumber alam sekitar dan budaya masyarakat setempat. -EDISI UKAS