Lawatan Pra Gawai Eratkan Hubungan Pemimpin Dan Penduduk Rumah Panjang

Posted on 29 Apr 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Lawatan Pra Gawai anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong diteruskan pada hari ke-8
dengan mengunjungi rumah panjang di kawasan Sungai Meradong dan Skim B Meradong yang diketuai wakil rakyatnya,
Datuk Ding Kuong Hiing pada Isnin.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Ding mengambil kesempatan untuk mendengar permasalahan yang dibangkitkan oleh Tuai Rumah dan penduduk rumah panjang serta menegaskan komitmen beliau untuk turun padang setiap tahun tanpa mengira saiz rumah panjang demi memahami sendiri keperluan rakyat.

Selain itu, beliau turut memuji inisiatif kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam menyalurkan pelbagai bantuan kebajikan seperti Kad Kenyalang Gold Card, Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Program Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Beliau turut menyeru penduduk agar terus menyokong Kerajaan Sarawak yang sentiasa komited membela kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Lawatan berlangsung dari jam 5.30 petang hingga 9.30 malam berjaya mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni menjelang sambutan Gawai Dayak.

Turut hadir Setiausaha PArti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Kapitan Wong Leh Hee serta ahli-ahli Parti SUPP.-EDISI UKAS