Persatuan Melanau Sarikei Perkukuh Silaturahim, Warisan Budaya Terus Diperkasa

Posted on 29 Apr 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Persatuan Melanau Sarikei mengukuhkan perpaduan masyarakat dan memelihara warisan budaya melalui penganjuran Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di Dewan Sri Nyelong, Sarikei pada Isnin.

Majlis ini dihadiri oleh lebih 100 orang hadirin termasuk Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh yang hadir sebagai tetamu kehormat.

Datuk Len menyatakan penghargaan kepada Persatuan Melanau Sarikei atas usaha mereka memperkukuhkan silaturahim dan memperkasakan budaya Melanau di daerah ini khususnya dalam memperkenalkan budaya dan warisan bangsa kepada generasi muda.

“Jangan biarkan budaya Melanau hilang ditelan zaman. Teruskan usaha untuk mendokumentasi, mempromosi dan mempraktikkan adat resam serta bahasa kita,”ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih terlibat dalam pembangunan setempat, menggalakkan penggunaan teknologi untuk memperluaskan jangkauan dan membina kerjasama yang lebih kukuh dengan komuniti luar.

Majlis yang diserikan dengan persembahan kebudayaan dan jamuan raya ini diakhiri dengan sesi ramah mesra antara ahli persatuan dan masyarakat setempat, memperlihatkan semangat kekeluargaan yang kuat dalam kalangan warga Melanau.-EDISI UKAS