Billy Sujang Tinjau Tapak Dua Projek Jalan Pertanian Di Lundu

Posted on 29 Apr 2025
Source of News: UKAS


LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang melawat dua tapak projek jalan pertanian di Kampung Stungkor Baru dan Kampung Raso 1 di sini pada Isnin.

Beliau mengadakan lawatan itu bagi meninjau perkembangan dan keperluan tambahan bagi projek berkenaan.

Projek Jalan Pertanian Kampung Stungkor Lama sepanjang 2.05 kilometer dengan anggaran kos RM650,000 didapati memerlukan tambahan peruntukan susulan keperluan membina dua buah culvert yang belum diambil kira dalam perancangan awal.

Menurut Billy, projek ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Stungkor Lama, Kampung Stungkor Baru dan Kampung Stum Muda, khususnya dalam meningkatkan kemudahan akses untuk aktiviti pertanian dan harian.

Sementara itu, projek Jalan Pertanian Kampung Raso 1 yang dianggarkan berjumlah RM1.3 juta pula melibatkan pembinaan jalan sepanjang 3 kilometer.

Billy berkata, kesemua projek jalan pertanian ini amat penting bagi membantu penduduk kampung meneroka dan mengusahakan tanah mereka untuk tujuan berkebun serta memperluaskan kawasan penempatan.

Beliau turut memberi jaminan akan terus memperjuangkan keperluan tambahan yang diperlukan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna demi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS