Semangat Perpaduan Warnai Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Wisma Persekutuan Kota Samarahan

Posted on 29 Apr 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Suasana penuh kemeriahan dan muhibbah menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Wisma Persekutuan Kota Samarahan.

Majlis yang diadakan di perkarangan Wisma Persekutuan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang pada Isnin.

Turut hadir Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak serta pegawai kanan dan kakitangan agensi-agensi persekutuan.

Dalam ucapannya, Datuk Rubiah menegaskan bahawa perpaduan dan kerjasama erat antara agensi kerajaan menjadi tunjang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Majlis seperti ini bukan sahaja meraikan sambutan Aidilfitri, malah memperkukuh silaturahim dan kolaborasi di antara semua warga kerja di bawah satu bumbung,” katanya.

Pelbagai juadah tradisional seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih disediakan untuk para tetamu.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu raya, sesi cabutan bertuah serta permainan tradisional yang menghiburkan.

Anjuran Jawatankuasa Penyelaras Bangunan Wisma Persekutuan, majlis berkenaan menjadi platform mempererat hubungan silaturahim antara penjawat awam daripada pelbagai kaum, selaras dengan aspirasi kerajaan membentuk perkhidmatan awam yang lebih cemerlang dan rakyat berbilang bangsa yang bersatu padu.-EDISI UKAS