KUCHING: Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak kembali membuat kemunculan pada tahun ini dan bakal menjanjikan saingan sengit dari para peserta mengambil bahagian.
Memasuki edisi ke-9 penganjurannya, kejohanan berprestij ini akan berlangsung dari 1 hingga 4 Mei ini di venue ikonik, Tebingan Sungai Kuching.
Setakat hari ini, seramai 250 peserta mewakili pelbagai kelab dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia termasuk dari tujuh negara luar mengesahkan penyertaan mereka.
Negara-negara lain yang turut mengambil bahagian adalah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, United Kingdom, Yemen dan Iran.
Mereka akan bertarung dalam 130 bout kategori Muaythai Muaysport dan 16 pertarungan Superfight Pro yang mempertaruhkan barisan petinju hebat untuk memburu gelaran.
Pada tahun ini, Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) selaku penganjur utama menampilkan sedikit kelainan apabila turut memperkenalkan Piala Borneo 2025 untuk menjadi rebutan para peserta.
Menurut Presidennya, Jumaat Ibrahim, Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak merupakan salah satu aktiviti dalam kalendar tahunan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak yang sentiasa dinantikan oleh peminat sukan muaythai bukan sahaja dari seluruh Malaysia, malah termasuk dari luar negara
“Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak telah meletakkan nama Sarawak di peta sukan muaythai di seluruh dunia.
“Ini boleh dilihat apabila setiap tahun jumlah peserta yang mengambil bahagian sentiasa bertambah, bukan sahaja di dalam negara, malah dari luar negara.
“Perkembangan positif ini diyakini dapat membantu dalam merancakkan sektor pelancongan negeri dan membawa impak ekonomi kepada pemain-pemain industri perhotelan, pengangkutan dan makanan,” katanya.
Sementara itu, beberapa aktiviti sampingan turut diatur bagi memeriahkan lagi kejohanan kali ini.
Pada hari pertama (Khamis), akan diadakan sesi pengenalan peserta dan pasukan serta persembahan seni bela diri bermula jam 7 malam.
Keesokan hari, perlawanan muaysport akan bermula pada Jumaat jam 8 pagi, dan disambung semula pada jam 2 petang bersama dengan perlawanan semi pro dan akan akan diteruskan pada sebelah malam dengan beberapa perlawanan profesional.
Turut diadakan perlawanan sukan elektronik (e-sports) yang akan disertai seramai 256 peserta dengan perlawanan muaysport dan esports akan diteruskan pada hari ketiga iaitu Sabtu bermula jam 8 pagi hingga ke petang.
Pada sebelah malam pula, akan berlangsung perlawanan semi pro dan pro, bermula jam 7 malam dan disusuli dengan perasmian kejohanan.
Penonton juga akan disajikan dengan perlawanan pertunjukan gusti yang menampilkan penggusti ternama tempatan pada malam kemuncak nanti.
Pada hari keempat, akan diadakan Fun Walk Muaythai Piala TYT dan Jelajah ANMS Bahagian Kuching Siri 3 bermula jam 6 pagi dengan sasaran 500 peserta termasuk pelbagai acara kesihatan turut diadakan pada pagi tersebut.
Perlawanan semi pro dan pro juga akan diteruskan pada hari terakhir, bermula jam 8 pagi dan disusuli dengan penyampaian sijil peserta kursus.
Juara keseluruhan Piala TYT akan diputuskan dari kalangan kelab-kelab dari Sarawak yang bernaung di bawah PMNS dan mencatat pungutan pingat tertinggi.
Manakala juara keseluruhan Piala Borneo 2025 akan diputuskan dari kelab-kelab terbaik dari Borneo.
Penyampaian Piala TYT akan diadakan pada malam Sabtu manakala Piala Borneo 2025 diserahkan pada hari Ahad. -EDISI UKAS