Bandar Baharu Beraya dan Pesta Lambir Bakal Lonjak Pembangunan Sosioekonomi

Posted on 29 Apr 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Pembangunan sebuah bandar baharu di kawasan Beraya dan penganjuran Pesta Lambir diumumkan sebagai antara inisiatif utama untuk merancakkan pertumbuhan sosioekonomi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II merangkap ADUN Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Lambir bertemakan “Zaman 70-an” yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Kampung Beraya Batu 1 pada malam Isnin.

Majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam ucapan alu-aluan, Datuk Dr. Ripin Lamat memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah merangka pembangunan pekan baharu di Beraya yang bakal merubah landskap ekonomi dan sosial setempat.

Justeru, beliau menyeru penduduk mengambil peluang ini dengan meningkatkan taraf pendidikan dan penyertaan dalam aktiviti ekonomi, seiring dengan kemajuan yang bakal berlaku.

“Bandar baharu ini bukan sahaja akan membawa pembangunan fizikal, malah membuka ruang kepada peluang keusahawanan, pelancongan dan pelbagai sektor perkhidmatan,” ujar beliau.

Selain itu, beliau turut berkongsi perancangan penganjuran Pesta Lambir sebelum akhir tahun ini, bertempat di Kampung Bakam.

Festival itu bakal mengetengahkan warisan budaya, makanan tempatan dan aktiviti komuniti, menjadikan Lambir destinasi baharu bagi acara pelancongan komuniti.

Majlis malam ini turut menyaksikan penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM154,000 kepada surau dan masjid serta RM574,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Lambir.

Sebanyak 18 gerai Hari Raya bertemakan “Zaman 70-an” mengambil bahagian dalam pameran, selain pelbagai pengisian seperti persembahan tarian, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah.-EDISI UKAS