MIRI: Masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu dua sekolah utama di Senadin bakal ditangani menerusi pembinaan kawasan tempat letak kereta baharu dan jalan akses di Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek bernilai RM1.6 juta itu merupakan inisiatif di bawah Projek Rakyat DUN Senadin yang diluluskan hasil permohonannya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berikutan rungutan berterusan daripada ibu bapa dan pihak sekolah berhubung isu kesesakan teruk setiap kali waktu masuk dan tamat sesi persekolahan.
“Masalah ini bukan baharu. Ia memberi tekanan bukan sahaja kepada ibu bapa, malah kepada pelajar dan warga sekolah.
“Dengan adanya 108 lot tempat letak kereta di SK Senadin dan 174 lot di SMK Pujut, kita harap ia dapat menyuraikan aliran trafik dengan lebih berkesan,” katanya semasa lawatan tapak ke kedua-dua lokasi pada Selasa.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu, projek yang bermula pada 24 Februari lalu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan, iaitu menjelang 23 Februari 2026.
Setakat ini, kemajuan kerja berada pada tahap 18 peratus sedikit di bawah sasaran awal 20 peratus.
Dato Sri Lee turut mengarahkan kontraktor agar mempercepatkan kerja tanpa mengabaikan mutu, sambil menegaskan kepentingan projek ini kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Selain itu, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan tambahan seperti pembinaan pintu masuk dan keluar yang lebih luas di SMK Pujut, laluan pejalan kaki berbumbung serta tempat letak motosikal berbumbung bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan semua pengguna.
Menariknya, kawasan tempat letak kereta yang dibina juga disasarkan untuk fungsi pelbagai guna.
“Kita boleh manfaatkan ruang ini untuk aktiviti komuniti pada hujung minggu – seperti jualan amal, pasar komuniti dan program kemasyarakatan,” jelasnya sambil menambah, terdapat baki dana sekitar RM200,000 daripada peruntukan asal yang akan dimanfaatkan untuk menambah baik kemudahan tersebut.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengetua SMK Pujut, Su Yien Jiong; Guru Besar SK Senadin, Ahmad Othman serta wakil kontraktor pelaksana projek.-EDISI UKAS