Bengkel Strategik Jalan Balak Baram Fokuskan Agenda Infrastruktur Luar Bandar Sarawak

Disiarkan pada 29 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Kerajaan Sarawak komited memperkasa pembangunan luar bandar menerusi pendekatan lebih strategik dengan tumpuan khusus kepada naik taraf jalan-jalan balak di kawasan Baram.

Ini ditegaskan dalam Bengkel Perancangan Strategik Jalan-jalan Balak Baram yang berlangsung di City Rise Hotel, Miri pada Ahad.

Bengkel anjuran Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) itu menghimpunkan lebih 80 peserta, termasuk pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan pedalaman.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dalam ucapan pembukaannya menekankan bahawa pembangunan luar bandar merupakan agenda utama negeri, dengan 70 peratus daripada belanjawan negeri setiap tahun disalurkan kepada pembangunan dan 60 peratus daripadanya diperuntukkan untuk kawasan luar bandar.

“Kita membantu kepimpinan negeri dalam memastikan agenda pembangunan rakyat tercapai.

“Walaupun peruntukan besar telah disalurkan, keluasan negeri dan faktor geografi Sarawak yang unik menjadi cabaran utama dalam memastikan hasilnya dapat dirasai sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut mengkritik pengukuran kemiskinan luar bandar yang tidak mengambil kira aset penting seperti pemilikan tanah, yang menyebabkan gambaran kurang tepat terhadap realiti kehidupan luar bandar.

“Penduduk luar bandar tidak semestinya miskin; mereka kaya dengan tanah dan sumber, tetapi kekurangan kemudahan asas yang setara dengan bandar,” jelasnya.

Menurut beliau, bengkel ini bertujuan menyusun pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang, dengan pendekatan turun padang bagi memahami keperluan sebenar rakyat.

Pegawai Persekutuan dari Putrajaya turut diundang untuk melihat realiti lapangan.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, mendedahkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM1.5 bilion menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan Baram, termasuk lebih 1,700 kilometer jalan balak yang memerlukan pembaikan, dengan anggaran kos mencecah RM400 juta.

“Masalah utama adalah tiada penyelenggaraan selepas operasi syarikat pembalakan ditutup. Bentuk muka bumi kawasan dan lojistik ke kawasan Baram yang mencabar antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos projek,” jelasnya.

Beliau menekankan keperluan penyelenggaraan pencegahan bagi mengelakkan kerosakan lebih besar, merujuk kepada contoh jambatan di Long San yang telah berusia lebih 40 tahun dan memerlukan tindakan segera demi keselamatan penduduk.

Bengkel ini turut dihadiri Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau; ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau; Residen Bahagian Miri, Galong Luang; serta pegawai kanan dari Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dan Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU).

Resolusi hasil bengkel ini akan dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk tindakan lanjut, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memacu pembangunan inklusif di luar bandar.

“Sudah tiba masanya kita membalas kepercayaan kepada kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat,” tegas Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah dalam ucapan penutupnya.-EDISI UKAS