SARIKEI: Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Repok telah diadakan dengan penuh meriah di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Igan merangkap Pengerusi Ketua Cawangan PBB Repok, Ahmad Johnie Zawawi sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Kr Wong Kie Yong yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Majlis ini telah dihadiri kira-kira 120 orang tetamu, menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur serta menekankan pentingnya berbakti di mana sahaja seseorang itu bertugas.
“Di mana kita bertugas, di situ kita berbakti,” tegas beliau, mengingatkan semua tentang peranan masing-masing dalam membangunkan masyarakat.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Sri Huang atas sokongan dan bantuan berterusan yang telah banyak membantu mengukuhkan kerjasama dalam membangunkan kawasan Sarikei dan sekitarnya.
Selain itu, Ahmad Johnie turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat dan kerjasama baik antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sarikei dan PBB Cawangan Repok yang sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan program-program untuk kesejahteraan rakyat.
“Hubungan akrab ini menjadi asas penting kepada kekuatan gabungan parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat akar umbi,” katanya. -EDISI UKAS