Datuk Ding Kunjungi Exco SABERKAS Terlibat Kemalangan

Posted on 29 Apr 2025
Source of News: UKAS


MERADONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah mengadakan lawatan prihatin ke atas Exco SABERKAS yang terlibat dalam kemalangan di rumah kediaman mangsa pada Isnin.

Beliau bersama rombongan telah mengunjungi kediaman Exco SABERKAS Cawangan Meradong, Jenal Mumin yang baru-baru ini mengalami kemalangan jalan raya berhampiran Jambatan Batang Rajang pada waktu malam.

Datuk Ding menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap Jenal dan seorang lagi rakan beliau yang turut terlibat dalam insiden berkenaan.

Beliau berharap kedua-dua mangsa kemalangan akan segera sembuh dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Dalam kunjungan tersebut, Jenal turut menceritakan detik-detik kejadian kepada Datuk Ding yang kemudiannya mengambil tindakan segera dengan memaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) agar meratakan jalan utama di kawasan tersebut.

Katanya, keadaan jalan yang tidak rata amat berbahaya terutama kepada penunggang motosikal pada waktu malam.

Sebagai tanda keprihatinan, Datuk Ding bersama rombongan turut menyampaikan sumbangan kepada Jenal bagi meringankan beban kos rawatan dan pemulihan yang ditanggung. -EDISI UKAS