RM2.5 Juta Diperuntuk Tambahbaik Infrastruktur Rumah Panjang Nanga Engkuah

Disiarkan pada 13 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KAPIT: Seramai 658 penduduk Rumah Panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song di sini, bakal menikmati penambahbaikan infrastruktur membabitkan kos berjumlah RM2.5 juta selepas dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menteri Kerja Raya Malaysia Dato' Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penambahbaikan infrastruktur fizikal itu meliputi pembinaan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan penghubung antara tiga rumah panjang serta pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar. 

Tiga buah rumah panjang itu adalah Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong. 

Jelas beliau, pelaksanaan projek itu akan membawa manfaat kepada penduduk kampung untuk berhubung dengan selesa dan selamat kerana keadaan jambatan sedia ada yang telah uzur dan membahayakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Kampung Angkat Madani Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah disini pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, proses penambahbaikan infrastruktur itu dijangka mengambil masa setahun dan pihaknya percaya ia akan memberi impak positif kepada kehidupan seharian penduduk di situ. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan, Setiausaha Politik Kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Watson Awan, Temenggong Toh Tze Hua, Penghulu Taboh Sawing, Tuai Rumah Assan Munan, Ketua-ketua Jabatan dan Tuai-Tuai Rumah. -EDISI UKAS