Pemain Industri Acara Perniagaan Diseru Sertai BILA 2025

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pemain industri acara perniagaan dari dalam dan luar negara diseru untuk menyertai Anugerah Borneo Inspires Legacy (BILA) 2025, yang dijangka membawa lebih banyak peluang kerjasama dan memperluas jaringan perniagaan, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi serantau.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan dibuka sehingga 15 Jun 2025 ini dan semua pemegang taruh industri dari seluruh dunia digalakkan untuk menghantar pencalonan dengan melayari laman rasmi Business Events Sarawak (BESarawak), selaku penganjur.

Menurutnya, sebanyak 18 anugerah akan dipertandingkan menerusi lima kategori utama iaitu Kecemerlangan Legasi Konvensyen, Kecemerlangan Legasi Pameran, Tanggungjawab Sosial Korporat Mesyuarat dan Insentif Korporat, termasuk Industri Sarawak dan kewartawanan, bagi mengiktiraf sumbangan yang memberi kesan nyata kepada komuniti, ekonomi dan alam sekitar.

"Saya sangat menggalakkan anda semua mempertimbangkan untuk menghantar penyertaan anda. Kejayaan kita didorong oleh dedikasi pemain industri, penganjur acara, para profesional, penyelidik dan persatuan yang telah meletakkan Sarawak di peta dunia.

"Bersama-sama, kita membina lebih banyak acara seperti ini. Kita mencetuskan perubahan, memberi inspirasi kepada komuniti, dan mencipta legasi yang bergema sepanjang generasi,"katanya dalam sidang media khas mengenai BILA 2025, di sini pada Isnin.

Turut serta ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi BESarawak Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Timbalan Pengerusi BEsarawak Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini, Ahli Lembaga Pengarah BEsarawak Dr Margaret Chan Kit Yok dan Ketua Pegawai Eksekutif Amelia Roziman.

BILA 2025 bertujuan untuk menghargai pencapaian luar biasa dalam sektor acara perniagaan yang memberi tumpuan kepada legasi, kelestarian dan inovasi, sejajar dengan matlamat pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif.-EDISI UKAS