Sibu Destinasi Pelancongan Sukan Bertaraf Antarabangsa

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Penganjuran Sibu International Powerboat Race 2025 (SIPBR2025) yang melabuhkan tirai dengan jayanya di Waterfront Pulau Li Hua pada Ahad telah mengukuhkan kedudukan Sibu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.

Perlumbaan yang menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung itu bukan sahaja mempamerkan kehebatan perlumbaan bot laju, malah membuktikan kemampuan Sibu menganjurkan acara bertaraf dunia, di samping memperkukuhkan perpaduan komuniti dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dalam ucapan penangguhan berkata SIPBR2025 menjadi platform penting mengasah bakat, menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, serta menyemai semangat kesukanan di kalangan masyarakat.

“Setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.

“Bagi yang belum berjaya, teruskan berusaha kerana kejayaan akan menyusul pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran peserta dan pengunjung dari pelbagai latar belakang membuktikan kekuatan perpaduan di Sibu, selain memperkenalkan keunikan budaya dan keindahan semula jadi bandar itu ke persada antarabangsa.

Dalam aspek ekonomi, SIPBR2025 mencatat impak positif melalui peningkatan sektor pelancongan dan jualan produk komuniti seperti makanan warisan dan kraftangan tempatan.

“Sibu kini semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, dan acara ini mengukuhkan lagi kedudukan kita di mata dunia,” jelasnya.

Selain itu, pelbagai acara sampingan seperti Pertandingan Mewarna, Zumba Ria, Pameran Bot Laju, serta program amal bersama kanak-kanak dari Sibu Methodist Children Home dan PERYATIM Sibu turut memeriahkan program, menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan pengunjung.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan penyertaan belia tempatan dalam sukan air, yang dilihat mampu melahirkan pelumba bot laju bertaraf dunia pada masa depan.

Mengakhiri ucapannya, beliau mencadangkan agar Waterfront Pulau Li Hua dimajukan menjadi tapak tetap penganjuran sukan air peringkat nasional dan antarabangsa.

Turut hadir memeriahkan majlis penangguhan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong; ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin serta Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili.-EDISI UKAS