Usaha Naik Taraf Klinik Kesihatan Mid Layar Diperkukuh, Projek Blok Tambahan Dalam Perancangan

Disiarkan pada 28 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Usaha meningkatkan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar diteruskan apabila Mesyuarat Projek “Cadangan Bina Baru Blok Tambahan dan Naik Taraf Klinik Kesihatan Mid Layar” diadakan di Pejabat Residen Bahagian Betong pada Isnin.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu membincangkan perincian projek strategik itu bersama wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan pegawai-pegawai berkaitan.

Projek yang dirancang menggunakan dana daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) ini bertujuan mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Mid Layar dan kawasan sekitarnya.

Antara skop kerja yang dibincangkan termasuk pembinaan blok baharu dua tingkat yang akan menempatkan Unit Kecemasan, Radiologi, Rehabilitasi, dan Klinik Pergigian, selain penempatan semula makmal perubatan serta ubah suai unit farmasi.

Turut dirancang ialah kerja-kerja menaik taraf sistem elektrik Klinik Kesihatan Mid Layar, serta baik pulih bangunan sedia ada dan kuarters kakitangan.

Mesyuarat ini merupakan kesinambungan beberapa siri perbincangan terdahulu dalam memastikan cadangan projek memenuhi keperluan teknikal dan perkhidmatan yang disasarkan.

BDDA dan JKR Sarawak akan bekerjasama rapat dalam pelaksanaan projek ini bagi memastikan kemudahan yang dirancang dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

Antara yang turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas BDDA, Abang Mohamed Abang Turkey; pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Amirul Azwan Ainie dan Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad Norhaizam Ahmad @ Narawi.-EDISI UKAS