ADUN Meradong Komited Fokus Kebajikan Luar Bandar

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Kebajikan penduduk luar bandar terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, yang turun padang bertemu komuniti Rumah Panjang di kawasan Sungai Meradong dalam lawatan Pra Gawai hari ketujuh pada Ahad.

Dalam lawatan anjuran Pusat Khidmat DUN Meradong itu, Datuk Ding mengambil peluang menyantuni penduduk, mendengar isu yang dibangkitkan termasuk permohonan subsidi bekalan elektrik serta status Program Pinjaman Rumah Panjang (PPRP) yang belum diluluskan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Beliau turut melawat pesakit terlantar dan menggesa ahli keluarga terlibat untuk segera memohon bantuan bulanan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Meradong sebagai salah satu langkah mengurangkan beban sara hidup.

Menurut Datuk Ding, komitmen kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg jelas melalui pelbagai inisiatif rakyat seperti Kenyalang Gold Card, bantuan pendidikan percuma, serta insentif untuk warga emas dan golongan muda.

Beliau dalam pada itu turut menyeru komuniti rumah panjang agar terus memperkukuh semangat perpaduan yang menjadi asas keharmonian Sarawak, khususnya dalam suasana perayaan Gawai yang diraikan merentas kaum dan agama.-EDISI UKAS