Perdana Menteri Bakal Hadir Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2025

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadiri Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang akan berlangsung pada 22 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis makan malam itu merupakan acara kemuncak dalam sambutan tersebut yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Acara kemuncak adalah Majlis Makan Malam Gawai Dayak yang akan diadakan pada 22 Jun 2025 di BCCK.

“Dan tetamu kehormat kita adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan hadir sama juga adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.

Menurut Datuk Amar Douglas, mesyuarat itu bertujuan menyelaras dan membincangkan persediaan bagi penganjuran sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak yang bakal berlangsung tahun ini.

Katanya, masyarakat Orang Ulu diberi penghormatan sebagai tuan rumah sambutan kali ini, dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dilantik sebagai pengerusi sambutan.

Antara acara utama yang telah dirancang termasuk Bazaar Gawai Dayak pada 15 hingga 25 Mei 2025 di MJC Batu Kawa, Karnival Gawai Tradisi pada 13 dan 14 Jun 2025 di Bangunan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di Miri serta Perarakan Gawai Dayak pada 21 Jun 2025 di tebingan sungai, Kuching.

Sebagai tambahan, majlis pelancaran buku “Coffee Table” bertemakan budaya dan warisan masyarakat Dayak juga akan diadakan sempena sambutan tersebut.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan ahli jawatankuasa yang lain.-EDISI UKAS