ADUN Simunjan Janji Bantu Realisasikan Pembinaan Dewan Kampung Sageng Tengah

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


SIMUNJAN: Impian penduduk Kampung Sageng Tengah untuk memiliki sebuah dewan sendiri mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang berjanji akan membantu merealisasikan pembinaan tersebut.

Awla berkata beliau tidak mempunyai halangan untuk menyokong projek berkenaan, sambil menyarankan Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) segera mengenal pasti tapak tanah yang sesuai.

“Jika sudah ada tanah, saya bersama Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, akan berusaha menyalurkan peruntukan untuk membina dewan ini,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kampung Sageng Tengah, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pembinaan dewan itu penting bagi memudahkan masyarakat berkumpul dan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima permohonan daripada penduduk untuk mendapatkan kemudahan seperti kanopi, kerusi dan meja sementara menunggu pembinaan dewan kekal.

“Permohonan ini wajar diberi perhatian kerana Kampung Sageng Tengah belum mempunyai dewan sendiri untuk menjalankan aktiviti penduduk,” katanya.

Sejurus selesai majlis, Rodiyah dan Awla turut berkesempatan menziarahi seorang penduduk yang sakit, Norasmah Ali dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban beliau.

Turut hadir, isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi; Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Mohd. Raili Jawawi; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Nazari Harun; wakil Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Mokhtar Ramli; Ketua Kampung Sageng Tengah, Mosidi Mohri serta Penghulu Ahmad Dol Simpol dan Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi.-EDISI UKAS