Sesi Kick Off Karnival Sukan Bau 2025 Meriah di SK Simpang Kuda

Disiarkan pada 28 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Suasana di Padang Bola SK Simpang Kuda gamat dengan sorakan apabila sesi 'kick-off' Karnival Sukan Bau 2025 diteruskan pada Ahad dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep.

Beliau bersama Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi turut menyertai penduduk setempat memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding.

Dalam ucapannya, Dato Henry Harry menyatakan keyakinan bahawa karnival ini bukan sahaja mampu membudayakan semangat kesukanan dalam kalangan belia, malah menjadi jambatan mengeratkan hubungan sesama komuniti di Bau.

Beliau turut menyaksikan perlawanan pembukaan yang menampilkan aksi bertenaga daripada pemain-pemain muda, sekali gus mencerminkan potensi besar bakat sukan tempatan.

Karnival Sukan Bau 2025 dijangka mencapai kemuncaknya pada perlawanan akhir di Stadium Mini Bau bersempena sambutan Pesta Tasik Biru yang turut menjadi acara tumpuan komuniti setempat.-EDISI UKAS