Karnival Sukan Bau 2025 Bermula, Semarakkan Semangat Kesukanan

Disiarkan pada 28 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Karnival Sukan Bau 2025 memulakan tirai edisi terbaharu dengan sesi kick-off' serentak di beberapa lokasi sekitar daerah Bau pada Ahad.

Majlis pelancaran rasmi di Padang Bola Sepak Krokong telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh yang turut menyaksikan perlawanan perdana antara Daun FC dan SYG FC.

Dalam ucapannya, Miro menasihati semua pemain agar menjunjung semangat kesukanan sepanjang karnival berlangsung.

Beliau turut berharap karnival ini dapat menjadi platform untuk mempererat silaturahim, membudayakan gaya hidup sihat melalui sukan serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia tempatan.

Perlawanan akhir Karnival Sukan Bau 2025 dijadualkan berlangsung sempena kemuncak Pesta Tasik Biru kelak dengan Stadium Mini Bau menjadi lokasi rasmi pertandingan tersebut.-EDISI UKAS