KOTA PADAWAN: Kampung Annah Rais bakal diangkat sebagai sebuah ‘Cultural Heritage Village’ bagi mengekalkan identiti budaya dan sejarah masyarakat Bidayuh.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil berkata, semangat kerjasama komuniti merupakan kunci utama dalam memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Pelancongan bukan hanya bergantung kepada tarikan fizikal. Kita perlu menawarkan pengalaman budaya yang autentik.
"Kampung Annah Rais harus menjadi kampung budaya yang aktif, bukan sekadar muzium hidup,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Infrastruktur Pelancongan dan Majlis Apresiasi Kelab Belia Kampung Annah Rais di sini, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 tahun ini dan tambahan RM30,000 pada tahun hadapan untuk memperkasa aktiviti pelancongan dan pembangunan infrastruktur di kampung tersebut.
Kampung Annah Rais, yang termasuk dalam kawasan UNESCO Geopark, juga dirancang untuk dibangunkan dengan projek seperti pembinaan bandar kecil, laluan tepi sungai (riverside walk), serta bangunan pelancongan baharu.
Turut hadir, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan, Paul Mathieus Akin; Pemanca Bidayuh Daerah Kuching, Pemanca Raymond Jihap dan Ketua Belia Kampung Annah Rais, Walter Modon.-EDISI UKAS