Peruntukan RM150,000 Bagi Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Delegasi daripada Persatuan Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban (AEDIL) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Wisma Bapa Malaysia pada Isnin, bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam memajukan pendidikan Bahasa Iban di Sarawak.

Kunjungan ini, yang diketuai oleh Presiden AEDIL, Ambrose Jarit bersama-sama Timbalan Presiden AEDIL, Abit Hong, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa, bertujuan untuk memajukan pendidikan Bahasa Iban selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sepanjang pertemuan tersebut, AEDIL membentangkan sejarah penubuhan serta pencapaian mereka sejak penubuhannya pada tahun 2009.

Mereka juga menyuarakan komitmen untuk terus memperkukuh profesionalisme pendidik Bahasa Iban, memperluaskan kerjasama dengan agensi kerajaan, dan memperjuangkan dasar-dasar yang menyokong pemeliharaan dan kemajuan Bahasa Iban.

Sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap usaha ini, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM150,000 untuk AEDIL.

Peruntukan ini bertujuan untuk memperkasakan lagi inisiatif-inisiatif pendidikan Bahasa Iban, yang tidak hanya penting untuk komunikasi, tetapi juga sebagai asas pengukuhan identiti dan warisan budaya rakyat Sarawak.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan Bahasa Iban bukan sekadar alat komunikasi, ia mencerminkan sejarah, budaya dan warisan yang mesti dipelihara, diperkukuhkan, dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi dialog yang penuh inspirasi dan sesi bergambar bersama sebagai kenangan bersejarah.

AEDIL menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan pendidikan Bahasa Iban sebagai warisan hidup yang membanggakan, selaras dengan visi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri yang progresif dan makmur.-EDISI UKAS