BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus memperkukuhkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan transformasi digital dengan pelancaran empat inisiatif kelestarian serta pembukaan rasmi Customer Centric Centre (CCC) di Bintulu Port, pada Isnin.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan II, Dato Majang Renggi yang turut memuji langkah progresif BPHB dalam menyokong pertumbuhan rendah karbon dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab.
Empat inisiatif kelestarian yang dilancarkan meliputi pelancaran Video Kelestarian BPHB, pemasangan Sistem Solar Photovoltaic (PV), penggunaan Kenderaan Elektrik (EV), dan penyediaan Stesen Pengecasan EV di ekosistem pelabuhan.
Menurut Dato Majang, usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, malah meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan imej korporat BPHB sebagai pemacu perubahan positif dalam industri pelabuhan dan logistik.
Video Kelestarian BPHB merupakan satu paparan visual komprehensif tentang aspirasi dan inisiatif syarikat dalam bidang kelestarian, yang dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja serta komuniti setempat.
Sementara itu, Sistem Solar PV yang dipasang di beberapa bangunan utama pelabuhan, dengan pelaksanaan Fasa 1 oleh Solarvest Energy Sdn Bhd, bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional serta mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
Sebagai langkah tambahan, BPHB memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) untuk kegunaan dalaman pelabuhan menerusi kerjasama dengan Sime Darby Rent-A-Car Sdn Bhd, disokong dengan kemudahan Stesen Pengecasan EV untuk melengkapkan ekosistem hijau di pelabuhan.
Pelaksanaan inisiatif ini dijangka bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah meningkatkan produktiviti serta memperkukuh kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan hijau terkemuka di rantau ini.
Dalam majlis yang sama, Dato Majang turut merasmikan pembukaan rasmi Customer Centric Centre (CCC), sebuah pusat sehenti yang dibangunkan untuk memperkemas serta mendigitalkan perkhidmatan akses utama kepada pengguna pelabuhan, kontraktor dan pihak berkepentingan.
Terletak secara strategik dalam kawasan Pelabuhan Bintulu, CCC menawarkan kemudahan seperti pengeluaran Body Pass, sokongan umum pelanggan, dan pusat perkhidmatan sehenti, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna serta mempercepatkan urusan operasi pelabuhan.
Transformasi ini selaras dengan objektif BPHB untuk mempertingkatkan kecekapan operasi melalui penggunaan teknologi digital, selain memberikan tumpuan kepada keselamatan, ketelusan dan kepuasan pelanggan.
Sebagai pemangkin utama agenda transformasi digital BPHB, CCC dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan daya saing Pelabuhan Bintulu di peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus menyokong pembangunan Sarawak ke arah ekonomi moden dan berteknologi tinggi.
Dengan pelancaran rasmi ini, Pelabuhan Bintulu kini berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang sebagai pelabuhan utama yang mengutamakan kelestarian, inovasi dan perkhidmatan bertaraf dunia.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani serta tetamu lain.-EDISI UKAS