MIRI: Program Jangkauan Setiausaha Politik (PolSec Outreach Programme) bagi Zon Utara bermula di Miri dengan penganjuran Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi kawasan DUN N73 Piasau.
Majlis yang berlangsung di Pullman Hotel, Miri pada Ahad itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang merasmikan program berkenaan.
Program ini bertujuan memperkasa kesedaran rakyat mengenai strategi pembangunan negeri selepas pandemik COVID-19, selain memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Ia merupakan permulaan kepada siri Program Jangkauan PolSec yang dirancang meliputi kesemua 82 kawasan DUN Sarawak.
Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan maklumat komprehensif mengenai pelaksanaan PCDS 2030, peluang keusahawanan, bantuan perumahan, serta usaha Sarawak dalam memperkasa agenda Ekonomi Hijau ke arah mencapai pelepasan karbon sifar pada masa hadapan.
Sesi taklimat turut menampilkan pembentangan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd., serta Housing Development Corporation (HDC) yang berkongsi pelbagai insentif dan peluang bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat.
Menariknya, majlis tersebut turut digabungkan dengan 4th Datuk Sebastian’s Education, Career & Entrepreneur Fair 2025, yang membuka ruang kepada pelajar dan belia untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang pendidikan, kerjaya dan keusahawanan.
Pameran ini mendapat kerjasama daripada Sarawak Employment Service Unit (PESU), MMS Miri, JCI Riam serta beberapa syarikat tempatan yang lain.
Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan sesi bergambar beramai-ramai sebelum para peserta dijamu dengan minum petang.-EDISI UKAS