KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan pelancaran Swinburne-Sarawak Research Master Plan 2030.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata penyelidikan memainkan peranan penting dalam membina masa depan Sarawak yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif.
Beliau berkata, pelan strategik itu sejajar dengan aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030, khususnya dalam bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pembangunan mampan dan pertumbuhan bakat berkemahiran tinggi.
“Penekanan terhadap tema penyelidikan seperti inovasi berasaskan AI, tenaga hidrogen dan biojisim, kesihatan digital, ekonomi kitaran, serta pembinaan masyarakat inovatif dan inklusif adalah sangat relevan dengan keperluan global dan tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Swinburne-Sarawak Research Master Plan 2030 di sini pada Isnin.
Datuk Dr Hazland turut berkongsi pengalaman lawatan kementeriannya ke beberapa pusat penyelidikan terkemuka dunia, termasuk Ibu Pejabat Shell di The Hague, Pusat Penyelidikan Biogenics Samsung di Korea dan Pusat Penyelidikan CCUS di Imperial College London yang disokong oleh Petronas.
Beliau memaklumkan bahawa Sarawak memiliki kelebihan tersendiri melalui Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) yang telah mendaftarkan lebih 200 spesies dengan potensi untuk rawatan penyakit serius seperti kanser, penyakit berkaitan imun dan Alzheimer.
Namun, penemuan ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri.
“Ini bukan sahaja boleh menjadi penyelesaian kepada penyakit-penyakit ini, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak,” tambahnya.
Datuk Dr Hazland turut menegaskan bahawa kejayaan penyelidikan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, akademia dan industri.
Dalam konteks ini, Sarawak telah menubuhkan beberapa pusat penyelidikan seperti Sarawak Research Development Centre (SRDC), Sarawak Clinical Research Centre, Tropical Peat Research Institute, dan akan datang, Tropical Diseases Centre serta Pusat Kanser Sarawak.
Hadir sama Pro Naib-Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Ir Profesor Lau Hieng Ho dan Timbalan Pro Naib-Canselor (Penyelidikan) Swinburne Sarawak, Profesor Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman.-EDISI UKAS