Persembahan Muzikal YPS Tutup Tirai Kaul Mukah 2025 Dengan Penuh Warna-Warni

Disiarkan pada 27 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kaul Mukah 2025 melabuhkan tirainya malam ini dengan kelainan istimewa apabila Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) mempersembahkan sebuah persembahan muzikal, bertemakan Memupuk Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian, dan Memelihara Warisan Budaya di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, “Persembahan yang berlangsung di pentas utama Tapak Kaul Mukah ini mendapat sambutan hangat daripada ribuan pengunjung, sekaligus menutup festival tahunan yang telah bermula sejak 19 April lalu.

“Dengan gabungan tarian tradisional, muzik etnik, dan nyanyian berunsurkan perpaduan, YPS berjaya menyerlahkan keunikan kepelbagaian budaya Sarawak dalam satu persembahan yang penuh emosi dan semangat.”

Yayasan Perpaduan Sarawak, yang ditubuhkan pada 16 Mei 1994, merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang komited dalam usaha memupuk dan mengekalkan perpaduan, keharmonian, serta hubungan aman antara rakyat Sarawak yang berbilang kaum.

Royston berharap, YPS terus memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang inklusif dan saling menghormati.

“Penyertaan mereka dalam Kaul Mukah tahun ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat tentang pentingnya penerimaan budaya yang berbeza serta menanam rasa bangga terhadap warisan wilayah ini,” menurut Royston.

Kaul Mukah, sebuah perayaan tradisional masyarakat Melanau, terus berkembang sebagai platform untuk memperlihatkan kekayaan budaya tempatan, selain menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Dengan persembahan kreatif dan mesej perpaduan yang kuat, Kaul Mukah 2025 berakhir dengan penuh bermakna, membuktikan bahawa warisan budaya adalah nadi kepada keamanan dan keharmonian Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Ley Poh; Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak, Datu Aloysius J. Dris; Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Ketua Balai Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias. - EDISI UKAS