MUKAH: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Dewan SPS Kala Dana telah berlangsung dengan meriah pada Ahad, menyaksikan kehadiran penduduk setempat yang menunjukkan semangat kerjasama dalam menjayakan aktiviti tersebut.
Hadir sama memeriahkannya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine sambil melahirkan rasa bangga terhadap kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk.
Menurut Royston, “Ramah-tamah Aidilfitri bertujuan untuk eratkan silaturahim dan kukuhkan kerjasama di kampung ini.”
Beliau juga menekankan pentingnya projek pembangunan di kawasan N.57 Tellian, khususnya di Skim Penempatan Semula (SPS) Kala Dana, dengan harapan agensi pelaksana dapat merealisasikan projek tersebut secepat mungkin dan dengan sebaiknya.
Katanya, kos projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tersebut bernilai RM550,000.
Dalam majlis tersebut, Royston turut memaklumkan bahawa projek yang akan dilaksanakan adalah salah satu penyelesaian untuk mengurangkan risiko banjir, terutamanya melalui penambahbaikan sistem saliran air yang lebih baik.
Seterusnya, Royston telah meluluskan geran sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) SPS Kala Dana dan RM3,000 kepada Kelompok Rukun Tetangga (KRT) SPS Kala Dana.
Selain itu, Surau Al-Hijrah SPS Kala Dana juga menerima geran sebanyak RM3,000 yang telah diserahkan pada bulan Ramadan yang lalu.
“Dengan adanya dana yang diberikan, gunakan untuk laksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada rakyat setempat.
“Saya juga sarankan untuk adakan aktiviti gotong-royong di kampung, dengan konsep membersihkan laman rumah sendiri. Aktiviti ini baik untuk menjaga kesihatan serta mencantikkan halaman rumah,” tambahnya.
Majlis ramah tamah ini bukan sahaja meriah dan penuh keceriaan, tetapi juga memperlihatkan komitmen penduduk dalam menjaga suasana harmoni dan bekerjasama bagi kesejahteraan kampung.
Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Premier, Fridah Osman; KK Ismail Ismawi selaku tuan rumah Majlis Ramah Tamah Aidilfitri, Penghulu Besiri Keri, Ketua Jabatan dan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat. - EDISI UKAS