KUCHING: Kerajaan Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan projek pembangunan mega dengan berpandukan perancangan kewangan yang kukuh dan strategik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, walaupun terdapat pandangan pesimis daripada sesetengah pihak mengenai kemampuan Sarawak melaksanakan projek berskala besar, namun kerajaan Sarawak telah melakukan perancangan rapi sebelum memulakan sebarang inisiatif pembangunan.
“Kerajaan Sarawak tahu apa yang sedang dilakukan. Sebelum melancarkan mana-mana projek, kita telah membuat pengiraan teliti, termasuk dalam aspek infrastruktur, pembiayaan, dan tenaga kerja,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Affin Bank di Hotel Sheraton di sini, pada Ahad.
Premier Sarawak menambah, dalam lima tahun pertama, tumpuan diberikan kepada pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, serta meningkatkan bekalan air dan tenaga ke kawasan pedalaman.
Jelas beliau, keseluruhan projek itu dibiayai menggunakan dana sendiri negeri dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM36 bilion setakat ini.
Katanya lagi, pendapatan negeri yang meningkat membolehkan Sarawak berani membuat pelaburan strategik seperti dalam Affin Bank, selain memperkukuh kedudukan kewangan menerusi penubuhan dana berdaulat yang kini melebihi RM8 bilion.
Premier Sarawak menjelaskan lagi, semua projek mega seperti pembangunan pelabuhan dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu, dan industri berasaskan gas serta hidrogen dirancang dengan mengambil kira masa pelaksanaan yang panjang, tempoh “lead time” serta keperluan membangunkan tenaga kerja tempatan secara serentak.
“Projek mega ini memerlukan masa tujuh hingga 10 tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya. Oleh itu, kita telah menyediakan perancangan kewangan jangka panjang, termasuk pelan pembayaran balik berasaskan sistem amortisasi, bagi memastikan kestabilan ekonomi Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk terus optimis terhadap masa depan negeri dan tidak terpengaruh dengan pandangan luar yang pesimis.
“Kerajaan Sarawak tidak akan melancarkan sebarang projek tanpa mengambil kira keseluruhan ekosistem ekonomi, termasuk infrastruktur, kewangan, tenaga kerja dan pertumbuhan masa hadapan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato' Agil Natt; Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek serta tetamu lain.-EDISI UKAS