Semangat Perpaduan Pelbagai Suku Kaum Warnai Sambutan Gawai Dayak di Miri

Posted on 27 Apr 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Semangat perpaduan erat antara pelbagai suku kaum seperti Orang Ulu, Iban dan Bidayuh menjadi tunjang kekuatan sambutan Gawai Dayak di Bahagian Miri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, sejak sambutan Gawai dianjurkan bersama, perkembangan yang ditunjukkan amat membanggakan dengan pelbagai aktiviti turut dianjurkan bagi memeriahkan perayaan.

“Sejak kita mulakan sambutan Gawai bersama, perkembangan yang ditunjukkan amat membanggakan.

“Kita bukan lagi hanya menumpukan kepada makan malam dan pertandingan ratu cantik, tetapi juga mengadakan pelbagai aktiviti termasuk derma darah, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan karaoke seperti hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Dayak Songs Karaoke Contest sempena 19th Miri Division Gawai Dayak Celebration “Segulai Sejalai Nuju Pemansang” yang berlangsung di Pusat Membeli-Belah Boulevard, Miri pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dato Dennis turut menekankan bahawa kerjasama erat antara pelbagai suku kaum perlu terus dipertahankan untuk memastikan kekuatan dan keharmonian rakyat Sarawak sentiasa terpelihara.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan menyifatkan pertandingan tersebut sebagai bukti kesungguhan komuniti Dayak di Miri dalam memperkasa budaya serta memelihara semangat perpaduan.

Seramai 16 peserta mempersembahkan bakat masing-masing dalam pertandingan itu, menjadikannya salah satu acara Dayak Songs terbesar di Bahagian Miri.

Dalam majlis sama, Dato Dennis turut mengumumkan bahawa buat pertama kalinya, sebahagian daripada Perayaan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Miri pada 13 hingga 14 Jun 2025, melibatkan pelbagai aktiviti tradisional seperti pertandingan ratu cantik dan sukan rakyat.-EDISI UKAS