Penduduk Sungai Rassau Disaran Tubuh Pertubuhan Khusus Suarakan Isu Pembangunan

Posted on 26 Apr 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Penduduk kawasan Sungai Rassau disaran agar menubuhkan sebuah pertubuhan khusus bagi menyuarakan isu dan keperluan pembangunan rakyat kepada kerajaan negeri Sarawak secara lebih terancang dan berstruktur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, pertubuhan ini akan memainkan peranan yang lebih menyeluruh berbanding Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang hanya mewakili sesebuah rumah panjang.

“Berbeza dengan JKKK, pertubuhan ini boleh merangkumi keseluruhan rumah panjang di kawasan Rassau, sekali gus memudahkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh,” katanya ketika berucap dalam Program Randau Pemansang anjuran JKKK Rumah Salim Unang di Sungai Rassau, Batang Igan Tengah pada Jumaat.

Menurut beliau, kawasan Rassau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai jelapang padi atau “Sago Belt” serta sesuai bagi aktiviti penternakan udang secara komersial.

“Namun semua perancangan ini hanya akan berjaya dengan adanya kesatuan dalam kalangan penduduk di bawah satu payung, khususnya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS),” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie menzahirkan komitmen beliau untuk terus bekerjasama dengan komuniti setempat demi memastikan pembangunan berterusan di kawasan itu.

“Saya akan terus menjalinkan hubungan erat bersama ketua masyarakat dan penduduk di sini untuk membangunkan kawasan Bawang Assan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Program Randau Pemansang sebagai platform penting untuk menyampaikan maklumat secara langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Program seperti ini bukan sekadar tempat berkumpul, tetapi menjadi ruang untuk mempererat hubungan dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ketua Cawangan PBB Bawang Assan, Romeo Christopher Tegong; serta beberapa pemimpin tempatan lain. - EDISI UKAS